
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akur dengan sebarang keputusan yang diputuskan pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) berhubung kedudukannya.
Aminuddin menegaskan beliau sentiasa terbuka dengan sebarang keputusan yang ditetapkan bagi memastikan polemik politik yang berlaku dapat ditangani sebaiknya.
“Saya serah kepada pucuk pimpinan parti, saya ada presiden saya, pengerusi PH, perbincangan apa sahaja, saya akur, tak ada masalah. Negeri Sembilan sentiasa terbuka, kita akur dengan keputusan pimpinan kita.
“DAP pun sama, AMANAH pun sama dan sebab itu kalau nak buat sidang media pun, kita maklum kepada pucuk pimpinan, barulah kita buat sidang media kita tempoh hari, kita tak dahului pimpinan kita,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat EXCO negeri, di sini hari ini.
Sebelum ini, semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin yang juga ADUN PKR Sikamat.
Sementara itu, mengenai mesyuarat EXCO negeri dipengerusikannya hari ini, Aminuddin berkata, mesyuarat tidak membincangkan isu perjawatan, termasuk kekosongan portfolio ditinggalkan empat ADUN UMNO/Barisan Nasional (BN).
Katanya, ia sebaliknya hanya membincangkan ehwal dan keperluan rakyat yang perlu diutamakan.






