
RIYADH: Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi terus meningkatkan kecekapan operasi logistik dengan menyediakan lebih 3.1 juta tempat duduk bagi penerbangan masuk dan keluar menghadapi musim Haji 1447H/2026.
Ia termasuk mengendalikan lebih 12,000 penerbangan berjadual dan sewa melalui enam lapangan terbang utama, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Lapangan terbang utama ialah Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz di Madinah dan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh.
Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Lapangan Terbang Antarabangsa Taif dan Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Abdulmohsin bin Abdulaziz di Yanbu.
Usaha itu sebahagian usaha bersepadu demi memastikan pengalaman perjalanan yang lancar dan selamat untuk jemaah selaras dengan piawaian antarabangsa tertinggi.
Ia sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji dan membolehkan mereka melaksanakan ibadah mereka dengan mudah dan tenang, selaras matlamat Wawasan Saudi 2030 ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah haji dan umrah.







