
KUALA LUMPUR: Malaysia muncul antara negara dengan tahap sokongan tertinggi di dunia terhadap cadangan mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu bawah 16 tahun.
Ia sekali gus memberi signal jelas bahawa rakyat negara ini mahukan pendekatan lebih tegas dalam melindungi kanak-kanak di platform digital.
Dapatan berdasarkan kajian global Family First oleh Varkey Foundation yang dijalankan pada Januari hingga Februari lalu melibatkan lebih 18,000 responden merangkumi ibu bapa, kanak-kanak, remaja, datuk, nenek serta generasi muda (Gen Z) dari 15 buah negara.
Negara-negara yang terlibat merupakan Malaysia, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, India, Jepun, Kenya, Nigeria, Sweden, UAE, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Argentina.
Melalui kajian tersebut, sebanyak 77 peratus ibu bapa di Malaysia menyokong had umur bawah 16 tahun sekali gus meletakkan negara ini di kedudukan teratas berbanding negara lain seperti India (75 peratus) dan Perancis (74 peratus).
Jepun pula mencatatkan sokongan paling rendah iaitu 38 peratus.

Pengasas Family First dan Yayasan Varkey, Sunny Varkey berkata kajian berkenaan menterjemahkan ketegangan yang semakin meningkat dialami oleh banyak keluarga dalam era digital.
“Ibu bapa di seluruh dunia semakin bimbang tentang kesan media sosial terhadap anak-anak mereka.
“Matlamat kami menerusi Family First bukan sekadar untuk membincangkan isu larangan, tetapi untuk memulakan perbualan yang lebih luas tentang bagaimana teknologi mencorak hubungan kekeluargaan dan nilai-nilai murni dalam diri golongan muda.
“Jika kita mahukan keluarga yang lebih utuh pada masa hadapan, kita mesti membantu kanak-kanak membina hubungan yang sihat dengan teknologi hari ini,” katanya.

Sokongan terhadap cadangan terbabit bukan sahaja datang daripada ibu bapa malah turut disokong oleh 62 peratus kanak-kanak dan remaja di negara ini (berbanding purata global 37 peratus).
Gen Z Malaysia turut memberi sokongan sama sebanyak 65 peratus berbanding 51 peratus berbanding global.
Peningkatan sokongan di Malaysia menunjukkan bahawa kanak-kanak perlu dilindungi daripada risiko digital sekali gus membantu perkembangan emosi lebih sihat.
Platform media digital juga perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam melindungi kanak-kanak daripada menjadi ‘mangsa’ era digital moden.

Selain itu, peranti bukanlah pengasuh kepada kanak-kanak tetapi pengukuhan peranan keluarga amat penting dalam tumbesaran kanak-kanak.
Sokongan yang tinggi tersebut menjadi mandat awam jelas ingin kerajaan mengawal platform media digital.
Ia bukan bermakna mengharamkan secara total penggunaan digital tetapi lebih kepada pendekatan delay, not ban untuk memberi kanak-kanak berkembang dan matang sebelum ‘bebas’ menggunakan platform media digital.
Langkah tersebut selari dengan kehendak rakyat dan trend global dalam memastikan internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.







