
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil langkah lebih agresif bagi meningkatkan disiplin bayaran balik dalam kalangan peminjam.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, melalui pendekatan yang lebih tersusun termasuk peluasan kaedah bayaran auto debit, potongan gaji serta e-mandate, kadar pembiayaan tidak berbayar (Non-Performing Financing, NPF) berjaya diturunkan daripada 35.2 peratus pada Mac 2025 kepada 24.1 peratus pada Mac 2026.
“Pada masa sama, MARA turut memperkenalkan dasar pengurusan kredit yang lebih komprehensif serta memperkukuh kompetensi pegawai melalui latihan profesional dalam pengurusan kredit.
“Langkah ini bertujuan memastikan kelestarian pembiayaan MARA agar lebih ramai pelajar dan usahawan dapat terus menikmati manfaat kemudahan yang disediakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, MARA bakal melaksanakan pembaharuan Akta MARA 2026 bagi memastikan organisasi kekal relevan, responsif dan berdaya saing dalam memacu pembangunan sosioekonomi Bumiputera.
“Penambahbaikan ini melibatkan pemodenan kerangka tadbir urus, pengukuhan fungsi strategik organisasi serta penyesuaian mandat MARA dengan cabaran ekonomi masa kini dan masa hadapan.
“Antara fokus utama pembaharuan tersebut termasuk memperkemas struktur tadbir urus korporat, memperkukuh mekanisme pematuhan serta meningkatkan ketelusan pengurusan kewangan organisasi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MARA akan menganjurkan Karnival 60 TAHUN MARA : Menjunjung Amanah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula 1 hingga 5 Mei ini sempena enam dekad penubuhan organisasi terbabit.
Beliau memberitahu, karnival bertujuan menghimpunkan pelbagai inisiatif pembangunan MARA dalam bidang pendidikan, keusahawanan, pelaburan dan pembangunan bakat dalam satu platform terbuka kepada masyarakat.
Sepanjang lima hari penganjuran, pelbagai program akan dilaksanakan termasuk Education Fair, Forum Akademik Nasional, program pembangunan kemahiran GIATMARA, sesi jaringan keusahawanan serta pelancaran beberapa inisiatif strategik MARA yang memberi manfaat kepada pelajar, usahawan dan masyarakat.





