
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) merangka 111 inisiatif transformasi di bawah Peta Transformasi MARA yang menjadi asas hala tuju baharu organisasi bagi tempoh 2026 hingga 2030 dalam usaha terus memperkukuh pembangunan sosioekonomi Bumiputera di negara ini.
Inisiatif berkenaan merangkumi sektor pendidikan, keusahawanan, kewangan korporat dan khidmat pengurusan dengan tumpuan kepada peningkatan impak terhadap pelajar, usahawan serta penduduk di luar bandar.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, pelaksanaan agenda transformasi ini disokong oleh tujuh pasukan khas yang digerakkan sejak 2023.
“Melalui dapatan tersebut, ia diterjemahkan kepada 111 inisiatif merangkumi enam tunjang utama iaitu dasar dan tadbir urus, kecekapan kewangan, penyampaian mandat, pembangunan profesional, teknologi maklumat serta penyelidikan dan jaringan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pelan Strategik MARA 2026-2030 hari ini.
Dalam pada itu, beliau menambah, pencapaian akademik Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terus menunjukkan peningkatan apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 merekodkan Gred Purata Maktab (GPM) keseluruhan 2.062.
Katanya, sebanyak lima (5) MRSM berjaya mencatat GPM di bawah 1.500 manakala 14 MRSM merekodkan GPM di bawah 2.000.
“Usaha peningkatan akademik ini dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan termasuk bimbingan profesional kepada guru, pelaksanaan pedagogi baharu, program pembangunan sahsiah pelajar serta pengukuhan program Ulul Albab yang kini melibatkan kira-kira 36,000 pelajar di seluruh MRSM.
“Bagi memperluas peluang pendidikan global, MARA turut memperkenalkan Program Elite Bound yang menyediakan laluan khas kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian di universititerbaik dunia.
“Seramai 50 pelajar telah terpilih dalam fasa persediaan di Kolej MARA Seremban dan Kolej MARA Banting,” ujarnya.
Dalam sektor keusahawanan pula, Asyraf Wajdi memberitahu, MARA terus memberi fokus kepada pembangunan industri halal serta pengukuhan kapasiti usahawan Bumiputera untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Sepanjang tahun 2025, katanya, program Gate to Global (GTG) mencatat nilai transaksi jualan sebanyak RM449 juta melibatkan 362 usahawan dengan 2,818 produk berjaya menembusi pasaran global.
“Selain itu, tujuh (7) Kawasan Industri Makanan MARA turut ditransformasikan kepada MARA Halal Industrial (MHI) Park yang menyediakan kemudahan kilang, latihan, khidmat teknikal serta aksespembiayaan bagi menyokong pertumbuhan industri halal dalam kalangan usahawan Bumiputera.
“Usaha meningkatkan ekosistem perniagaan turut dilaksanakan melalui projek transformasi usahawan luar bandar, program industri halal serta kerja naik taraf premis perniagaan di pelbagai lokasi seluruh negara,” katanya.






