
KUALA LUMPUR : Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil tindakan segera dengan merehatkan ahlinya yang disiasat berhubung pengurusan dana zakat, susulan penahanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.
Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya telah mengambil perhatian terhadap laporan penahanan tiga individu di Hulu Selangor yang dikaitkan dengan kes tersebut.
Beliau menegaskan, IKRAM memandang serius isu terbabit dan menekankan bahawa nilai integriti serta amanah kekal sebagai teras utama dalam setiap pelaksanaan tugas dan gerak kerja organisasi.
“Sehubungan itu, IKRAM menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak SPRM dan akan terus memberikan kerjasama sewajarnya selaras dengan keperluan undang-undang serta prinsip keadilan.
“Selain itu, sebagai langkah pentadbiran dan tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak, individu yang terlibat telah direhatkan serta-merta daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi.
“Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan semalam kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Menurut sumber, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an telah ditahan antara jam 3 hingga 5 petang dalam operasi yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Lembah Klang.
Dalam pada itu, Badlishah Sham berkata, perkara berkenaan melibatkan tindakan individu dan tidak melibatkan organisasi secara langsung.
Menurutnya, selaras dengan perlembagaan IKRAM, jika didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil bagi memastikan integriti organisasi terus terpelihara.
“IKRAM akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut berhubung perkara ini.
“Segala keputusan dan penjelasan adalah tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.
“Kami juga komited untuk terus menilai dan memperkukuh amalan tadbir urus organisasi agar telus, berintegriti serta selaras dengan tuntutan syarak dan prinsip kedaulatan undang-undang. Semakan dalaman sedang dan akan diteruskan bagi memastikan penilaian yang menyeluruh,” katanya.
Beliau menambah, keprihatinan semua pihak amat dihargai dan memohon agar ruang diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Katanya, IKRAM kekal berpegang bahawa amanah adalah tanggungjawab besar yang perlu dipelihara dengan penuh integriti dan akan terus diperkukuhkan.





