
SHAH ALAM: Dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes penyelewengan dana zakat yang dianggarkan berjumlah RM230 juta.
Perintah tahanan reman terhadap kedua-dua lelaki berusia 57 dan 61 tahun itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret hari ini.
Kes tersebut sedang disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Terdahulu kedua-dua individu itu tiba di pekarangan Mahkamah Shah Alam pada 9.07 pagi dengan menaiki van SPRM.
Semalam, SPRM Selangor menahan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Menurut sumber, dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan petang semalam dalam operasi di sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan pada 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.






