
PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan memilih Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Baginda bertitah, jawatan tersebut amat penting dalam memastikan SPRM terus berfungsi secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam usaha membanteras rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) seperti dikongsikan menerusi akaun Facebook rasmi baginda, hari ini.
Sehubungan itu, baginda menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara berkenaan.
Kontrak Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dijadualkan tamat pada 12 Mei 2026.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini memberi jaminan kontrak berkenaan tidak akan disambung.
Azam sudah dilantik semula sebanyak tiga kali berturut-turut, masing-masing bagi tempoh setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025 serta 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.
Jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM menjadi tumpuan umum berikutan peranan suruhanjaya itu sebagai badan penguatkuasaan utama negara dalam membanteras rasuah serta memulihkan aset negara yang hilang akibat penyelewengan.






