
KUALA LUMPUR: Tindakan menggunakan Akta Hasutan tidak wajar dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menyuarakan pandangan kritikal atau antikerajaan.
Presiden GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, menegaskan bahawa teguran terhadap dasar serta tindakan kerajaan merupakan hak rakyat yang dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan bersuara, dan tidak seharusnya diperlakukan sebagai satu kesalahan jenayah.
Beliau berkata, kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini sudah meminda undang-undang dengan mengeluarkan ‘ucapan antikerajaan’ daripada skop Akta Hasutan.
“Oleh itu, mana-mana kerajaan yang memerintah seharusnya menghormati Perlembagaan, mendengar suara rakyat serta menerima pandangan secara terbuka.
“Kritikan terhadap kerajaan tidak boleh disamakan dengan hasutan, sebaliknya kerajaan perlu bersikap terbuka untuk memperbaiki kelemahan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Dominic menegaskan tindakan tegas wajar diambil terhadap pihak yang benar-benar mengancam keselamatan dan keamanan negara, termasuk mereka yang menghasut keganasan, menggugat kestabilan atau menghina institusi diraja.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kritikan terhadap kerajaan tidak sepatutnya disamakan dengan ancaman kepada kedaulatan negara.
“Kritikan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Tan Sri Azam Baki, juga telah membawa kepada siasatan oleh pihak berkuasa.
“Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada tindakan itu bertujuan untuk mengekang suara rakyat daripada menyatakan kebenaran,” katanya.
Dominic turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa tidak mematuhi pindaan undang-undang pada 2015, sebaliknya dilihat semakin kerap menggunakan Akta Hasutan terhadap individu yang mengkritik kerajaan serta Perdana Menteri.
Beliau berpendapat, sekiranya Malaysia benar-benar mahu mengangkat prinsip kedaulatan undang-undang dan amalan demokrasi, Akta Hasutan wajar dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang baharu yang lebih relevan dengan perkembangan serta keperluan semasa masyarakat.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan memberikan penjelasan berhubung tindakan memanggil serta menyiasat individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan antikerajaan di bawah akta berkenaan.





