
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah meluluskan 333 daripada 493 permohonan lesen mendulang emas yang diterima sejak Januari lalu, dengan 54 daripadanya sudah diserahkan kepada pemohon.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata kerajaan negeri bagaimanapun tidak dapat memastikan tahap penglibatan sebenar pendulang yang telah memperoleh lesen tersebut sama ada aktif atau sebaliknya.
Beliau berkata, kebanyakan pemegang lesen menjalankan aktiviti mendulang secara sambilan, justeru sukar untuk menilai hasil pendapatan sebenar mereka.
“Apabila rakyat memohon dan kita keluarkan lesen, kita tidak dapat pastikan dengan jelas sama ada mereka aktif atau tidak kerana kebanyakannya bukan sepenuh masa mendulang, tetapi secara sambilan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Menurut beliau, setakat ini kerajaan negeri hanya membenarkan dua syarikat untuk membeli emas yang didulang bagi memastikan urus niaga dijalankan mengikut peraturan dan mengelakkan penyelewengan.
“Bagaimanapun, kita belum menerima data tepat mengenai jumlah pendapatan yang diperoleh pendulang hasil aktiviti tersebut,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) berhubung aktiviti mendulang emas dan hasil royalti yang diterima kerajaan negeri.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Rodzi Jaafar (PAS-Gaal), Mohamed Fadzli berkata beberapa syarat ketat telah ditetapkan sejak awal kepada semua pemegang lesen bagi memastikan aktiviti mendulang dijalankan secara terkawal.
Katanya, pemantauan berterusan dilakukan oleh Pejabat Tanah dan Galian bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan aktiviti tersebut tidak menjejaskan sungai, tebing dan ekosistem setempat.
“Kerajaan negeri telah menetapkan syarat teknikal yang ketat termasuk kawasan dibenarkan, kaedah kerja serta pematuhan garis panduan alam sekitar yang turut dinyatakan dalam lesen.
“Ia bagi memastikan pematuhan, di samping memberi panduan kepada pelesen mengenai potensi kawasan mineral seperti emas, serta menjaga keselamatan pendulang dan kelestarian alam sekitar,” katanya.






