
MELAKA: Polis menahan seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 39 tahun itu yang juga merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak berkenaan telah direman selama tujuh hari bermula 16 April, sebelum tempoh tahanan itu disambung lagi lima hari sehingga Isnin ini (27 April) bagi membantu siasatan.
“Pada 14 April, kira-kira 5 petang seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka telah menerima mangsa dalam keadaan separuh sedar dan mendapati keputusan ujian saringan air kencing mangsa positif tetrahydrocannabinol.
“Ibu mangsa memaklumkan kepada pegawai perubatan berkenaan bahawa mangsa diambil dari rumah pengasuh di Sungai Putat dan pada 11 April.
“Mangsa telah diberikan bantuan rawatan pernafasan melalui tiub di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dzulkhairi menambah, berikutan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan suspek sekitar jam 9.30 malam pada 15 April bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya turut menunjukkan keputusan negatif.
Dalam perkembangan sama, kanak-kanak perempuan terbabit dilaporkan telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.





