
TEHERAN: Iran melancarkan serangan dron terhadap beberapa kapal milik Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas selepas sebuah kapal kargonya dipintas dan dirampas oleh tentera negara itu di Teluk Oman.
Menurut laporan agensi berita Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan, tindakan tersebut dibuat susulan operasi pasukan AS menaiki kapal kontena TOUSKA milik Iran.
Agensi berita separa rasmi Tasnim News Agency melaporkan, dron Iran dilancarkan ke arah kapal AS, namun tidak diperincikan sama ada sasaran melibatkan kapal tentera atau komersial.
Terdahulu, Iran mengesahkan kapal berkenaan dirampas oleh pasukan AS dan memberi amaran akan bertindak balas dalam masa terdekat, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran gencatan senjata dua minggu yang dimediasi oleh Pakistan.
Gencatan senjata itu sebelum ini dilaporkan sebahagian besarnya dipatuhi sejak diumumkan pada 7 April lalu.
Fars News Agency melaporkan Markas Pusat Khatam al-Anbiya mendakwa pasukan AS menyasarkan kapal tersebut dengan melumpuhkan sistem navigasinya sebelum menaikinya.
Data penjejakan kapal pula menunjukkan TOUSKA berlepas dari Pelabuhan Klang pada 12 April lalu.
Jurucakap Tentera Iran, Ebrahim Zolfaghari, berkata pasukan AS melepaskan tembakan ke arah kapal itu sebelum mengambil alih kawalan.
Insiden tersebut mula didedahkan oleh Presiden AS, Donald Trump, sebelum disahkan oleh United States Central Command.
Menurut CENTCOM, kapal perang USS Spruance memintas kapal berbendera Iran itu selepas ia didakwa cuba melanggar sekatan tentera laut AS di Teluk Oman.
Katanya, kapal berkenaan kini masih ditahan dan berada dalam kawalan pasukan Marin AS ketika dalam perjalanan menuju pelabuhan Bandar Abbas di Iran.
CENTCOM turut menyiarkan rakaman video di platform X yang menunjukkan kapal perang AS memberi amaran sebelum melepaskan tembakan ke arah kapal tersebut.
Zolfaghari menuduh AS bertindak agresif serta melakukan ‘lanun maritim’ dengan melanggar gencatan senjata dan menyerang kapal Iran selepas melumpuhkan sistem navigasinya.
Beliau turut memberi amaran Iran akan bertindak balas segera terhadap apa yang disifatkannya sebagai tindakan bersenjata oleh tentera AS.







