
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) akan mengambil tindakan sewajarnya susulan persembahan teater yang didakwa berunsur lucah ringan atau ‘soft porn’ dalam satu pertandingan seni di universiti itu sehingga tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, berkata laporan berhubung kejadian tersebut sudah diterima oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Katanya, insiden berkenaan dilihat berpunca daripada kekhilafan selain keterujaan pelajar dalam menonjolkan elemen seni sehingga terlepas pandang aspek sensitiviti budaya dan norma masyarakat.
“Dalam berkarya, golongan muda kadangkala terlalu teruja tanpa niat tidak baik, namun pihak universiti perlu sentiasa peka terhadap batasan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara KPT dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Beliau menegaskan institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar agar lebih peka terhadap batasan dalam penghasilan karya seni.
“Kreativiti perlu digalakkan, namun ia mesti selari dengan nilai budaya ketimuran yang menjadi asas masyarakat negara ini.
“Tanggungjawab kita adalah untuk menasihati dan membimbing supaya sensitiviti dalam berkarya sentiasa terpelihara,” katanya.
UM sebelum ini memaklumkan persembahan teater berkenaan didapati tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan selain melanggar syarat pertandingan.
Universiti itu turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran garis panduan program atau peraturan yang ditetapkan.
Isu tersebut menjadi tular selepas satu persembahan teater di sebuah dewan di universiti berkenaan memaparkan adegan tidak sesuai sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.







