
KUALA LUMPUR: Dasar berkecuali aktif Malaysia terus memperkukuh kedudukan negara sebagai rakan strategik yang diyakini oleh syarikat pertahanan dan aeroangkasa global, khususnya dalam menghadapi kerumitan politik yang semakin menjejaskan keputusan rantaian bekalan dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan tersebut membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan kerja yang seimbang dengan semua kuasa utama, sekali gus menawarkan alternatif yang stabil kepada pemain industri antarabangsa.
Menurut beliau, kontraktor utama dan pembekal Tahap Satu digesa memanfaatkan keupayaan pembuatan berketepatan tinggi negara yang semakin mendapat pengiktirafan global.
“Pembekal Malaysia boleh menyertai rantaian bekalan anda tanpa dibebani kerumitan politik yang kini menyukarkan keputusan sumber di banyak negara lain.
“Sehubungan itu, saya menyeru kontraktor utama dan pembekal Tahap Satu supaya tampil meneroka keupayaan pengeluar tempatan serta meluangkan masa memahami kekuatan mereka.
“Malah, sebahagian syarikat global telah memulakan langkah ini, dan saya menggesa yang lain agar menilai secara serius kelebihan yang telah dimanfaatkan oleh rakan industri mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Defence Services Asia (DSA) 2026 dan National Security Asia (NATSEC) 2026, hari ini.
Anwar menegaskan syarikat tempatan telah membuktikan keupayaan mereka dalam rantaian bekalan paling mencabar di dunia, khususnya dalam sektor aeroangkasa dan semikonduktor.
Katanya, sekurang-kurangnya sebuah syarikat milik Malaysia sudah mencapai status pembekal Tahap Satu dengan pengeluar enjin aero global terkemuka, sekali gus menghasilkan komponen kritikal yang hanya dihasilkan oleh segelintir negara.
Beliau menambah, syarikat Malaysia turut terlibat dalam pengeluaran struktur sayap bagi pesawat komersial utama dunia serta komponen berketepatan tinggi untuk enjin aero yang beroperasi dalam penerbangan jarak jauh merentasi benua.
“Pada masa sama, kemudahan semikonduktor di Pulau Pinang, Kulim dan Johor mengendalikan proses pemasangan, pengujian serta pembungkusan cip yang digunakan dalam sistem pertahanan dan keselamatan.
“Keupayaan tersebut menjadikan Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk disepadukan dalam rantaian bekalan pertahanan global,” katanya.
Budaya memberitahu, ketepatan dan akauntabiliti yang memenuhi piawaian ketat sektor komersial kekal konsisten dalam aeroangkasa pertahanan.
Katanya. dalam kebanyakan platform, ia melibatkan disiplin yang sama, digerakkan oleh tenaga kerja yang sama dan dilaksanakan di fasiliti yang sama.






