
KUALA LUMPUR : Malaysia kini mengorak langkah lebih agresif untuk menempatkan diri dalam rantaian bekalan global bagi komponen aset pertahanan, selari dengan usaha memperkukuh keupayaan industri tempatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, negara memiliki kelebihan tersendiri khususnya dalam pembangunan perisian, litar bersepadu serta pelbagai komponen teknologi maklumat yang semakin menjadi keperluan utama sektor pertahanan moden.
Menurut beliau, syarikat tempatan seperti Composites Technology Research Malaysia di Melaka membuktikan keupayaan apabila terlibat secara langsung dalam rantaian bekalan global bagi komponen pesawat.
“Malah, ada syarikat tempatan yang sudah mampu menghasilkan peluru, sistem flare untuk pesawat dan kenderaan darat serta mencadangkan penghasilan meriam artileri 105 mm sendiri.
“Ini menunjukkan kita beralih daripada sekadar menjadi ejen, kepada pengeluar komponen yang diiktiraf,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pavilion Kementerian Pertahanan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini, hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, perkembangan ini mencerminkan perubahan besar landskap industri pertahanan negara daripada sekadar bertindak sebagai ejen kepada pemain yang mampu menghasilkan komponen sendiri dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian turut mewajibkan penggunaan 30 peratus komponen tempatan dalam perolehan aset pertahanan bagi memberi peluang kepada syarikat inovator tempatan menunjukkan kemampuan mereka.





