
PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung insiden seorang lelaki dipijak kepalanya ketika ditahan di Kulim, Kedah yang tular di media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sudah menghubungi Ketua Polis Kedah bagi memastikan siasatan dipercepatkan termasuk meneliti sama ada prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Menurutnya, setiap tindakan penguatkuasaan oleh polis tertakluk kepada SOP yang ditetapkan dan perlu dipatuhi oleh semua anggota bertugas.
“Dalam kes ini, saya sudah hubungi Ketua Polis Kedah untuk segerakan siasatan serta semak kepatuhan terhadap tatacara penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak perolehan kapal MPMS kedua bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Kompleks Setia Perkasa, di sini, hari ini.
Insiden berkenaan mencetuskan perhatian ramai selepas rakaman video berdurasi 29 saat tular di media sosial, memaparkan seorang lelaki ditarik sehingga motosikalnya terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota polis.
Saifuddin berkata, tindakan susulan termasuk kemungkinan penglibatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan.
“Jika perlu, JIPS akan menilai sama ada berlaku sebarang pelanggaran, namun semua aspek perlu diteliti secara menyeluruh terlebih dahulu,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru hanya berdasarkan rakaman video yang singkat.
“Apa yang dilihat hanyalah sebahagian daripada keseluruhan kejadian. Kita perlu faham situasi sebenar sebelum dan semasa insiden berlaku.
“Mungkin terdapat tindakan agresif, melawan arus atau cubaan melarikan diri yang perlu diambil kira dalam siasatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendekatan seimbang penting bagi memastikan akauntabiliti dapat ditegakkan tanpa menjejaskan moral anggota polis yang menjalankan tugas.






