
KUALA LUMPUR: Penutupan Selat Hormuz akibat konflik berterusan di Asia Barat memberi kesan langsung kepada negara-negara ASEAN, sekali gus memburukkan lagi keadaan ekonomi serantau.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, krisis berkenaan telah menyebabkan kenaikan mendadak harga tenaga, baja dan kos pengangkutan yang akhirnya mendorong peningkatan harga makanan serta inflasi.
Menurut baginda, situasi itu memberi tekanan besar khususnya kepada negara yang mempunyai rizab tenaga yang rendah.
“Peningkatan kos ini bukan sahaja menjejaskan pengeluaran, malah memberi kesan kepada rantaian pengedaran dan kehidupan rakyat.
“Walaupun Selat Hormuz dibuka semula dalam tempoh terdekat, kesan terhadap mata pencarian rakyat dijangka berlarutan selama berbulan-bulan,” titah baginda sambil menegaskan rundingan bagi menamatkan konflik di Asia Barat perlu disegerakan demi kestabilan ekonomi global.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena perasmian Putrajaya Forum 2026 yang diadakan bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini hari ini.
Sultan Nazrin turut mengingatkan isu alam sekitar tidak boleh dipandang ringan atau ditangguhkan walaupun dunia sedang berdepan cabaran ekonomi.
“Penjagaan alam sekitar adalah asas kepada keselamatan manusia dan bumi. Tanpa jaminan bekalan makanan dan air, serta keupayaan melindungi kawasan pesisir, sesebuah negara tidak mampu mencapai keselamatan sebenar,” titah baginda.
Baginda turut menggesa agar kesihatan bumi dijadikan sebagai komponen utama dalam rangka kerja keselamatan komprehensif ASEAN.
Selain itu, baginda menegaskan cabaran keselamatan di rantau ini semakin kompleks, termasuk melibatkan pertikaian maritim dan wilayah.
Menurut baginda, teknologi boleh menjadi penyelesaian jika dimanfaatkan secara berhemah,
namun berpotensi memburukkan keadaan jika disalahgunakan.
“Teknologi akan membentuk masa depan, namun kita perlu memastikan ia digunakan untuk menjunjung keamanan, kestabilan dan maruah insan.
“Kita juga perlu melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir teknologi, tetapi mempunyai nilai moral tinggi serta keseimbangan antara kecerdasan minda dan kekuatan jiwa,” titah baginda.
Baginda turut menekankan kerjasama serantau adalah kunci kepada keselamatan sebenar, bukan tindakan secara bersendirian.







