
PUTRAJAYA : Kerajaan mempergiat usaha memperkukuh keselamatan perairan negara apabila meluluskan perolehan kapal pelbagai misi (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), selaras dengan peningkatan ancaman keselamatan maritim.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aset baharu itu menjadi keperluan strategik dalam menangani pencerobohan serta jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks dan mencabar.
Beliau menjelaskan, kontrak pembinaan kapal tersebut telah dianugerahkan kepada syarikat Desan Shipyard dari Turkiye dengan nilai AS$83.75 juta, mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara.
“Perolehan ini diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan kelima tahun 2025 sebagai sebahagian usaha memperkukuh keupayaan APMM dalam mengawasi keselamatan maritim negara,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian kontrak perolehan MPMS kedua, di kementeriannya di sini, hari ini.
Saifuddin menambah, projek pembinaan kapal itu dijangka disiapkan dalam tempoh 24 bulan dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang 31 Januari 2028.
Beliau berkata, pemilihan syarikat pembina itu dibuat berdasarkan rekod prestasi memberangsangkan dalam pembinaan kapal MPMS pertama yang kini telah mencapai kemajuan 70 peratus, malah mendahului jadual asal sebanyak tiga peratus atau 21 hari.
“Prestasi ini memberi keyakinan bahawa kedua-dua kapal mampu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” ujarnya.
Tambah beliau, kapal MPMS berfungsi sebagai “mother ship” yang dilengkapi keupayaan rondaan jarak jauh, sistem komunikasi canggih serta kemudahan pendaratan helikopter.
Beliau berkata, kapal sepanjang 99 meter itu dijangka memperkukuh keupayaan operasi APMM secara menyeluruh, merangkumi rondaan, pemantauan, penguatkuasaan undang-undang maritim serta pelaksanaan operasi mencari dan menyelamat (SAR).





