
KUALA LUMPUR : Kerajaan menegaskan sebarang keputusan berkaitan subsidi bahan api tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa, walaupun tekanan daripada krisis geopolitik di Asia Barat semakin memuncak dan memberi kesan kepada pasaran tenaga global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dengan berpandukan analisis data yang komprehensif bagi memastikan setiap dasar dilaksanakan benar-benar seimbang dan berkesan.
Menurut beliau, konflik berpanjangan di Asia Barat yang dijangka berlarutan antara satu hingga dua tahun sememangnya menjadi cabaran besar.
Bagaiamanapun, beliau menambah, keutamaan kerajaan kekal jelas iaitu melindungi kebajikan rakyat serta mengekalkan kestabilan ekonomi negara.
“Jadi, ini sudah pasti cabaran yang kita tahu dan dari situlah kita kena melihat pada data apa yang perlu kita laksanakan untuk memastikan bekalan tenaga terjamin.
“Rakyat akan terlindung, pertumbuhan ekonomi terus berkembang, pihak industri dibantu mengikut apa yang dilakukan sekarang ini,” katanya ketika menjadi tetamu Bernama Radio, hari ini.
Baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan menampung sebanyak RM7 bilion bagi bantuan bahan api pada April 2026 sebagai usaha membantu rakyat mengurangkan tekanan akibat krisis tenaga global.
Selain itu, kerajaan turut mengumumkan bantuan tunai tambahan sebanyak RM75 juta khusus bagi pengguna diesel melibatkan golongan pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan individu.
Sementara itu, kerajaan melaraskan had siling kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan mulai April 2026.






