
BATU PAHAT: Seorang lelaki yang bekerja sebagai penjual pisang goreng dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yong Peng, hari ini bagi pertuduhan mencabul adik iparnya yang sedang tidur, dua bulan lalu.
Tertuduh berusia 31 tahun itu membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap adik iparnya yang berusia 27 tahun di sebuah rumah di daerah ini pukul 2 pagi pada 12 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan polis selepas mendakwa dicabul ketika tidur di rumah kakaknya yang juga isteri tertuduh.
Pada pagi kejadian, tertuduh dipercayai menyelinap masuk ke dalam bilik mangsa sebelum melakukan perbuatan berkenaan.
Mangsa kemudian terjaga dan mendapati tertuduh berada di dalam biliknya.
Bertindak atas laporan itu, pihak polis menahan tertuduh di sebuah rumah di daerah ini bagi membantu siasatan.
Mahkamah kemudian mengenakan hukuman denda RM3,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut selepas mengambil kira pengakuan bersalah, rayuan serta fakta kes.
Tertuduh membayar denda yang dikenakan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).






