KUALA LUMPUR: Simposium Fabrik ASEAN 2025 yang memberi tumpuan kepada kelestarian tekstil, tradisi dan inovasi dirasmikan hari ini oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor, dalam satu majlis di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.
Simposium dua hari itu, yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia menerusi Muzium Tekstil Negara, merupakan antara program utama di bawah tonggak sosio-budaya sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN. Bertemakan “Textile Sustainability: Tradition Towards Transformation,”.

Program ini menekankan peranan tekstil sebagai jambatan antara warisan, inovasi dan masa depan dalam komuniti serantau.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, dalam ucapan perasmiannya berkata, muzium memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembelajaran, dialog dan inovasi dalam masyarakat moden.
“Tekstil bukan sekadar hasil seni, tetapi pembawa naratif peradaban, identiti dan hubungan antara komuniti.
“Dalam dunia yang serba moden, pemeliharaan tradisi mesti seiring dengan inovasi. Kita bukan sahaja mahu tradisi kekal, tetapi terus hidup secara bermakna,” katanya.
Beliau turut menyeru kepada peningkatan kerjasama serantau dalam bidang penyelidikan tekstil, pembangunan kapasiti, penjenamaan warisan dan pencalonan budaya bersama, seperti pencalonan kebaya sebagai warisan budaya tidak ketara UNESCO oleh enam negara ASEAN termasuk Malaysia.
Seramai 300 peserta menghadiri simposium ini, terdiri daripada wakil institusi permuziuman, ahli akademik, penyelidik, pelajar institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, NGO, serta profesional dan penggiat seni tekstil dari dalam dan luar negara.
Sebanyak 12 pembentangan ilmiah oleh pakar akademik, artisan, pembuat dasar dan profesional dari seluruh ASEAN dijadualkan berlangsung sepanjang dua hari simposium, dikendalikan oleh empat moderator berpengalaman.
Simposium ini bukan sahaja memperkukuh diplomasi budaya ASEAN, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem tekstil yang mampan, berakar pada warisan, dipacu inovasi dan berorientasikan masa depan.
