
KUALA LUMPUR: Sikap segelintir pihak yang membuat propaganda negatif menuduh lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara hanyalah untuk ‘berjalan-jalan’ adalah sikap yang tidak bertanggungjawab.
Pakar ekonomi, Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, rundingan diplomatik, sama ada melibatkan sosial, politik atau ekonomi kebiasaannya mengambil masa tertentu selain mempunyai proses yang sepatutnya.
“Ramai (masyarakat) ingat, Perdana Menteri ke luar negara hari ini, esok sudah bawa pulang hasil.
“Tidak, prosesnya bukan begitu kerana ia mempunyai prosedur yang sepatutnya dan boleh dilaksanakaan mengikut masa tertentu.
“Ada yang mengambil masa selama berminggu-minggu, berbulan-bulan, malah bertahun. Semuanya mengikut apa perjanjian dan persetujuan yang dimahukan serta dipersetujui semua pihak,” katanya kepada Ceritera.
Terdahulu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, dakwaan pihak pembangkang bahawa lawatan rasmi itu hanyalah ‘jalan-jalan’ disifatkan sebagai tidak berasas.
Sekali gus, mencerminkan pemikiran sempit yang gagal memahami realiti geopolitik dan geoekonomi semasa.
Beliau berkata, tuduhan berkenaan bukan sahaja memperlekeh peranan diplomatik negara, malah mengabaikan impak besar dilaksanakan Datuk Seri Anwar dalam setiap lawatannya.
Dalam pada itu, Ahmad Bashir berkata, nilai pelaburan yang disiarkan dalam media ketika Perdana Menteri melakukan lawatan ke luar negara itu hanyalah jangkaan berdasarkan jenis dan peluang pelaburan.
Namun, itu bukan bermakna kerajaan tidak berusaha untuk menarik pelaburan berprofil tinggi dalam meningkatkan pembangunan negara.
“Jumlah pelaburan berbilion ringgit, jutaan ringgit yang kita dengar dalam radio, baca berita itu bukannya sudah dipersetujui, sebaliknya ia adalah jangkaan.
“Mungkin daripada jumlah yang dijangka itu, kita berjaya memperoleh sebahagian daripadanya dan ini adalah normal dalam urusan perdagangan.
“Sehubungan itu, masyarakat tidak boleh terus membuat spekulasi liar yang memburukkan pemimpin dan kerajaan kerana ia mencerminkan tahap pemikiran orang kita,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Bashir juga mencadangkan supaya makluman mengenai lawatan Perdana Menteri ke luar negara dihebahkan secara menyeluruh menerusi semua platform media seperti radio, televisyen, portal supaya masyarakat lebih cakna dengan perkembangan semasa.
Beliau juga menyatakan makluman mengenai projek yang sudah berjaya dimeterai antara Malaysia dengan negara antarabangsa juga boleh dihebahkan kepada rakyat.






