SEPANG: Seramai 36 jemaah haji di bawah kendalian Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd tiba di tanah air dari Madinah, Arab Saudi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8383.
Penolong Pengurus Haji Andalusia, Muhammad Haziq Khairuddin berkata, kesemua jemaah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 2.10 petang tadi.
“Ketibaan mereka merupakan sebahagian daripada kepulangan jemaah haji selepas selesai menunaikan ibadah di Tanah Suci.

“Manakala, baki seramai 100 jemaah lagi dijangka pulang pada malam esok, melengkapkan jumlah keseluruhan 573 jemaah yang menjalani ibadah haji bersama Andalusia,” katanya ketika ditemui Ceritera di sini, hari ini.
Kebanyakan jemaah haji turut berkongsi kisah mereka di Tanah Suci, termasuk pengalaman pertama kali menunaikan rukun Islam kelima itu.
Seorang daripada jemaah haji, Muhammad Mukri Ramli berkata, pengalaman menunaikan ibadah itu buat pertama kali amat bermakna, lebih-lebih lagi apabila dapat melaksanakannya bersama insan tersayang.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana dapat melakukan tawaf dan saie bersama mak pada pagi Hari Raya Aidiladha. Ia menjadi kenangan paling indah dalam hidup saya,” katanya.
Jemaah, Mohd Zahari Mat Rawi pula berkata, kesihatan fizikal, mental dan rohani yang seimbang menjadi faktor penting dalam memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan lancar serta sempurna.

“Saya amat bersyukur Allah kurniakan kesihatan baik kepada saya dari awal hingga akhir.
“Pergi dalam keadaan sihat, balik pun sihat,” katanya sambil menzahirkan penghargaan terhadap pengurusan Andalusia yang teratur di Tanah Suci.
