
TEHERAN: Iran akan menganjurkan upacara rasmi bagi memperingati hari ke-40 pemergian Pemimpin Tertinggi Ali Khamenei dengan pelbagai acara keagamaan diadakan di seluruh negara.
Menurut laporan agensi berita tempatan, majlis berkenaan diselaraskan oleh Majlis Penyelarasan Pembangunan Islam yang turut mengajak orang ramai menyertai upacara tersebut secara meluas.
Kenyataan itu memaklumkan, pelbagai acara termasuk upacara berkabung, perhimpunan keagamaan serta bacaan al-Quran akan diadakan bermula 8 malam Rabu di dataran utama, masjid dan lokasi keagamaan di seluruh Iran.
Pada Khamis, perarakan berkabung dijadualkan bermula seawal 9 pagi, melibatkan kumpulan keagamaan yang akan bergerak dari Meydan-e Jomhouri-e Eslami ke lokasi berhampiran tempat beliau meninggal dunia.
Selain itu, majlis doa beramai-ramai untuk kesejahteraan Imam al-Mahdi akan diadakan pada 9 malam, disusuli siaran rakaman suara Allahyarham di beberapa lokasi awam.
Upacara peringatan itu akan diteruskan pada Jumaat dengan program khas bermula jam 10 pagi sebelum solat Jumaat di seluruh negara.
Penganjuran majlis tersebut mencerminkan penghormatan tinggi rakyat Iran terhadap jasa dan kepimpinan Allahyarham sepanjang hayatnya.
Ia juga dijangka menghimpunkan penyertaan besar daripada masyarakat yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh berpengaruh itu.







