
KUALA TERENGGANU: Salwani Anuar @ Kamaruddin, isteri ketiga kepada bekas Panglima Tentera Darat (PTD), dijangka menjalani pembedahan bagi membuang bisul kronik di pahanya sama ada esok atau Rabu ini.
Peguamnya, Fahmi Abd. Moin berkata, Salwani akan pulang ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut termasuk menjalani prosedur pembedahan berkenaan.
“Seperti sedia maklum, dia mengalami masalah bisul kronik dan akan pulang ke Kuala Lumpur untuk menjalani prosedur pembedahan membuang bisul tersebut,” katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Terdahulu, Salwani yang merupakan isteri kepada Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada pukul 8.25 pagi dengan menaiki kenderaan sendiri sebelum dipimpin masuk ke pekarangan mahkamah dan seterusnya menggunakan kerusi roda menuju ke kamar mahkamah.
Bagaimanapun, semasa prosiding berlangsung, tertuduh bangun sendiri dan berjalan ke kandang tertuduh sebelum duduk bagi mendengar pertuduhan yang dibacakan.
Dalam prosiding sama, Salwani sekali lagi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.





