KUALA LUMPUR: Inisiatif menyediakan peti aduan di sekolah bagi membantu pelajar melaporkan kes seperti buli didapati kurang berkesan kerana kebanyakannya ditempatkan di kawasan terbuka tanpa memberi privasi kepada mangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin, menjelaskan ada kes pelajar enggan membuat laporan kerana bimbang identiti mereka terdedah, selain isu kerahsiaan yang kurang dijaga oleh pihak sekolah.
Beliau menyatakan perkara itu kepada media selepas merasmikan Townhall Kanak-Kanak Parlimen Malaysia bertemakan isu buli dalam kalangan kanak-kanak.
“Berdasarkan maklumat dan cadangan pelajar melalui sesi ‘townhall’ ini, kita sedar peti aduan memang ada di setiap sekolah dan mereka (pelajar) boleh tulis secara ‘anonymous’ (tanpa nama), namun ia diletakkan di tempat yang terlalu terdedah.
“Kita boleh memperhalusi perkara ini dan akan mencadangkan supaya peti aduan jangan terlalu terdedah agar kanak-kanak berasa selamat serta privasi mereka terjaga,” katanya di Parlimen hari ini.
Dalam perkembangan sama, Yeo Bee Yin berkata wujudnya pelanggaran privasi oleh guru apabila pelajar memaklumkan aduan mereka tersebar dan didedahkan kepada guru lain.
Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, semua input diperoleh melalui program anjuran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu akan dibincangkan bersama ahli jawatankuasa berkenaan, minggu hadapan.
“Setiap maklumat dan cadangan terbabit akan disyorkan kepada Kementerian Pendidikan sebagai langkah penambahbaikan dalam menangani isu buli di negara ini.
“Kita akan membuat penyataan (laporan) dan serahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibentang serta dibahaskan, sama ada pada sesi ini jika berkesempatan atau pada sesi akan datang.
“Namun, harapan kita ialah dibentangkan pada sesi ini dan boleh dibahaskan pada sesi ini juga,” katanya.
