
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menanggung sebarang kos berkaitan kerja-kerja perobohan dan pengosongan tanah miliknya yang diceroboh oleh mana-mana pihak.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, semua kos terbabit ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri selaras dengan tanggungjawab dalam perkara berkenaan.
Beliau menambah, penjelasan itu dibuat susulan satu hantaran di platform Threads yang mendakwa penceroboh tanah perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya menerima tanah ganti selain kos perobohan ditanggung oleh JAIS.
“JAIS tidak menanggung apa-apa kos bagi kerja-kerja perobohan dan pengosongan tanah yang diceroboh oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menafikan dakwaan wang zakat dan wakaf digunakan bagi tujuan perobohan serta pengosongan tanah berkenaan.
Katanya, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, selaras undang-undang dan ketetapan hukum syarak dalam menjaga serta mengurus dana umat Islam selain mempunyai pemahaman jelas terhadap perkara yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Sehubungan itu, umat Islam tidak perlu bimbang terhadap dakwaan yang dibangkitkan. MAIS akan terus memelihara dana dan wang umat Islam untuk digunakan bagi perkara yang memberi faedah serta manfaat kepada umat Islam selaras tanggungjawabnya di bawah Seksyen 7 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan penceroboh tanah perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya diberikan tempoh sehingga 31 Mac ini bagi mengosongkan kawasan terbabit.
Mohd. Shahzihan berkata, sekiranya pihak berkenaan gagal mematuhi arahan tersebut, tindakan penguatkuasaan seterusnya akan diambil.






