KOTA BHARU: Rakyat Kelantan diingatkan tidak terburu-buru menjalankan aktiviti mendulang emas selagi proses kelulusan lesen masih belum dimuktamadkan.
Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud berkata, walaupun kerajaan negeri mengumumkan kebenaran bagi rakyat mengusahakan perlombongan emas secara mendulang minggu lalu, semua permohonan tetap perlu melalui proses penilaian sebelum lesen diberikan.
“Sekarang ini lesen pun belum dikeluarkan. Kita masih di peringkat kajian dan penilaian. Kerajaan negeri hanya bersetuju supaya aktiviti mendulang dilaksanakan tetapi prosesnya masih berjalan.
“Selagi lesen tak dikeluarkan, tak boleh mendulang. Jadi kita minta semua pihak bersabar dahulu,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani Program Terbitan Sukuk Wakalah Permodalan Kelantan Berhad (PKB) bernilai RM300 juta dengan kerjasama Maybank Investment Bank Berhad, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan negeri bersetuju membenarkan rakyat menjalankan aktiviti mendulang emas melalui lesen bersyarat bagi memberi ruang meningkatkan pendapatan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli, sebelum ini berkata garis panduan lengkap berhubung aktiviti mendulang akan diumumkan dalam tempoh dua minggu.
Menurut beliau, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sedang merangka syarat dan peraturan bagi memastikan kegiatan itu dilakukan secara teratur tanpa menjejaskan keselamatan pendulang serta kelestarian alam sekitar.
