
IPOH : Peniaga di negeri ini diingatkan supaya tidak menaikkan harga barangan secara mendadak menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan yang bakal tiba serentak tahun ini.
Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, walaupun peniaga berhak mencari keuntungan, namun kenaikan harga perlu dilakukan secara berhemah dan beretika.
Beliau menegaskan kenaikan harga yang melampau bukan sahaja membebankan pengguna tempatan malah berpotensi menjejaskan imej kawasan tertentu khususnya destinasi pelancongan seperti Ipoh.
“Saya faham ada peniaga yang terpaksa bekerja ketika musim perayaan dan mungkin menaikkan harga sedikit untuk menampung kos lebih masa. Itu tidak menjadi masalah, tetapi janganlah naikkan harga secara mendadak.
“Kalau perantau balik ke kampung dan dapati harga barang terlalu mahal, ia memberi tanggapan negatif. Begitu juga pelancong. Jangan kerana mahu untung seketika, akhirnya rugi untuk jangka panjang,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran dan Sesi Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di Pasar Besar Ipoh di sini, hari ini.
Tambah Kah Leong, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak mahu menggunakan pendekatan penguatkuasaan secara keras, namun tindakan tetap akan diambil sekiranya menerima aduan awam berhubung kenaikan harga tidak munasabah.
“KPDN tiada pilihan jika terdapat banyak aduan terhadap premis tertentu. Pengguna ada hak untuk mendapatkan harga berpatutan dan peniaga juga ada hak mencari keuntungan jadi perlu ada keseimbangan.
“Saya percaya pengguna juga bijak membuat pilihan. Jika harga sesuatu barang lebih tinggi di satu tempat, mereka boleh mendapatkannya di premis lain yang menawarkan harga lebih berpatutan,” ujarnya.






