KOTA KINABALU : Sebuah jawatankuasa khas untuk memperincikan terma rujukan dan kaedah pelaksanaan Pemberian Khas berasaskan 40 peratus hasil Sabah ditubuhkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata jawatankuasa itu perlu menetapkan terma rujukan dengan segera, susulan tempoh arahan mahkamah yang berbaki 60 hari.
“Hari ini mereka akan mengadakan perbincangan dan tadi saya sudah menyatakan supaya tubuhkan jawatankuasa supaya mereka akan dapat ‘term of reference’ (terma rujukan) supaya apabila kerajaan baharu (Sabah) tertubuh, mereka (jawatankuasa) boleh laporkan kepada kerajaan negeri.
“Kerajaan Persekutuan sudah memutuskan tidak merayu untuk 40 peratus. Tapi lebih melihat bagaimana kita mahu terjemahkan apa yang termaktub dalam 40 peratus, apa kaedah dan sebagainya.
“Inilah akan dirundingkan oleh peringkat jawatankuasa yang ditubuhkan nanti untuk mereka perincikan dan akhirnya memberikan pelaporan kepada kerajaan negeri yang baru nanti, bila sudah tertubuh dengan kerajaan Persekutuan, supaya apa yang diputuskan mahkamah, berkaitan 40 itu dapat diselesaikan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pemantauan Program serta Projek Pembangunan Sabah di Menara Kinabalu, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.
“Dia ada ahli-ahlinya yang mewakili kerajaan Persekutuan dan negeri. Ini jawatankuasa khas dan mereka juga perlu laporkan kepada jawatankuasa teknikal.
“Mereka juga boleh lapor terus kepada Kabinet sebab jawatankuasa ini tempoh masanya singkat… sebab mahkamah beri kita beri ruang tempoh (berbaki) dalam 60 hari (lagi) untuk kita adakan sesuatu perbincangan, maka perundingan akan bermula.
“Saya akan tunggu apa hasil perbincangan mereka. Apa yang penting tubuh jawatankuasa itu untuk perundingan dan beri cadangan kepada kerajaan,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad sejak 1974.
Mahkamah berkenaan juga mengarahkan Kerajaan Persekutuan menyemak semula hak 40 peratus hasil bersih Sabah dalam tempoh 90 hari, bermula sejak 17 Oktober lalu.
