KUALA LUMPUR: Ribuan jemaah dari seluruh dunia kini membanjiri Masjidilharam dan Masjid Nabawi bagi merebut peluang pahala luar biasa ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci.
Bagi membantu para jemaah terutamanya yang pertama kali menunaikan ibadah di Makkah dan Madinah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menyediakan panduan lengkap solat di kedua-dua masjid suci itu agar setiap ibadah dilakukan dengan tertib, khusyuk dan penuh keberkatan.
Panduan berkenaan merangkumi adab, tatacara dan amalan penting yang perlu diberi perhatian bagi memastikan setiap jemaah memanfaatkan sepenuhnya peluang beribadah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Menurut panduan itu, solat di Masjidilharam menyamai 100,000 kali ganda pahala, manakala di Masjid Nabawi pula 1,000 kali ganda.
Para jemaah diseru menunaikan setiap solat dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan selain digalakkan datang lebih awal ke masjid bagi memperoleh saf hadapan yang menjanjikan ganjaran besar dan ketenangan sebelum solat bermula.
Bagi mengelakkan kesesakan, mereka juga disarankan mengambil wuduk di hotel atau penginapan, menjaga kesucian dan mengelak pembaziran air.
Jemaah perlu menghormati tempat yang telah dikhaskan atau ditinggalkan sementara oleh orang lain, fokuskan hati dan fikiran sepenuhnya kepada Allah serta elakkan gangguan seperti telefon atau rakaman video semasa solat.

Dalam lautan manusia, jemaah digalakkan bersikap tenang dan toleran serta sentiasa merujuk jadual rasmi masjid atau aplikasi sahih bagi memastikan tidak terlepas solat berjemaah, memandangkan waktu solat di Tanah Suci mungkin berbeza dengan tanah air.
Nikmati pengalaman solat di Tanah Suci dengan penuh rasa syukur dan penghayatan sebagai kenangan rohani paling berharga sepanjang hayat.
Selain itu, Andalusia turut menganjurkan Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) yang menawarkan peluang menunaikan umrah secara percuma melalui cabutan bertuah mingguan.

Hadiah menarik termasuk sebuah kereta, dua motosikal serta pelbagai hadiah lain dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.
Cabutan bertuah diadakan setiap Sabtu semasa Karnival JIMBA dan disiarkan secara langsung melalui akaun TikTok rasmi @jimba_andalusia.
