
BALING: Warga asing yang tinggal lebih masa tidak melebihi 90 hari di negara ini akan dikenakan tindakan kompaun Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), berkuat kuasa Oktober depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut bagi mempercepat proses tindakan undang-undang, tanpa perlu membuka kertas siasatan dan pendakwaan di mahkamah.
“Bila kita kenakan kompaun maknanya ia tidak berakhir dengan pendakwaan, asalnya kes tinggal lebih masa kena buka kertas siasatan dan mesti pendakwaan.
“Tapi ada kategori yang kita kenakan kompaun, iaitu mereka yang tidak tinggal di negara ini melebihi 90 hari,” katanyaz
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI JIM di Sekolah Kebangsaan Rambong Pulai di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, bagi warga asing yang tinggal lebih masa antara satu hingga 30 hari, kompaun yang dikenakan RM30 sehari sehingga maksimum RM900.
Beliau berkata, bagi yang tinggal lebih masa antara 31 hari hingga 60 hari, kompaun terus secara automatik sebanyak RM1,000 dikenakan, manakala bagi tinggal lebih masa antara 61 hari hingga 90 hari kompaun yang dikenakan ialah RM2,000.
Menurut beliau, langkah mengenakan kompaun itu diyakini dapat mempercepatkan proses tindakan undang-undang kepada hanya satu hari berbanding sebelum ini yang memakan masa sehingga 14 hari.
Tambahnya ia juga akan mempercepat proses penghantaran pulang warga asing yang terlibat, sekali gus mengurangkan kesesakan di depoh tahanan JIM seluruh negara, selain memberi peluang kepada warga asing tinggal lebih masa kerana disebabkan oleh alasan munasabah.
Sementara itu beliau berkata sebanyak 35,225 pendatang tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen di seluruh negara pada tahun ini, setakat 30 Ogos lalu.
Katanya tangkapan itu, hasil daripada 9,500 operasi yang dijalankan JIM membabitkan pemeriksaan terhadap 152,000 warga asing di seluruh negara.
“Sebanyak 36,557 warga asing sudah dihantar pulang ke negara asal setakat 28 Ogos, ini tidak termasuk tangkapan baharu 35,225 orang pada tahun ini,” katanya.