CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penyebaran SMS palsu yang menggunakan peralatan telekomunikasi haram dikenali sebagai stesen transceiver asas palsu (Fake BTS) menerusi operasi bersepadu, Op Pancing, baru-baru ini.
Menurut kenyataan MCMC hari ini, hasil risikan dan aduan awam membawa kepada penahanan seorang individu yang sedang mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan berhampiran sebuah pusat membeli-belah utama di Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati peralatan komunikasi tersebut berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif.
“Ujian frekuensi mengesahkan peralatan itu digunakan untuk menghantar SMS palsu yang mengandungi pautan phishing serta mesej berunsur perjudian kepada orang awam di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Susulan daripada penahanan itu, MCMC dengan kerjasama PDRM turut menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam.
Rumah tersebut dijadikan sebagai lokasi penyimpanan kenderaan, termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), serta kelengkapan komunikasi yang berkaitan dengan Fake BTS.
Dalam siasatan awal, modus operandi baru sindiket tersebut dikenal pasti, di mana peralatan Fake BTS telah diubah suai supaya dapat beroperasi secara mudah alih, sekali gus memudahkan aktiviti haram mereka.
Secara keseluruhan, sebanyak 45 barangan yang berkaitan dengan sindiket ini telah dirampas dengan nilai anggaran kira-kira RM100,000. Seorang individu juga telah dirakam keterangan untuk membantu siasatan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes berkenaan turut disiasat mengikut Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
