
SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melakukan semakan bagi menentukan status agama dua beradik yang lemas selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Linggi, Port Dickson pada Khamis lalu.
Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah, memaklumkan pihaknya menerima permohonan daripada polis untuk menyemak status agama Islam dua kanak-kanak terbabit, namun sehingga kini tiada rekod pengislaman ditemui di mana-mana negeri.
“Bapa mangsa memaklumkan pengislaman anak-anaknya dilakukan di Kelantan, tetapi semakan dengan jabatan agama di sana tidak menemui sebarang rekod.
“Malah, semakan di Negeri Sembilan juga menunjukkan keputusan yang sama,” katanya.
Katanya, JHEAINS kini bergantung kepada pengakuan ibu bapa kandung untuk mengesahkan status agama kanak-kanak tersebut.
“Mereka perlu membuat laporan polis berkaitan status agama anak-anak itu, dan laporan berkenaan akan digunakan sebagai asas bagi menguruskan urusan pengebumian jenazah secara Islam, sekiranya disahkan,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, memaklumkan pihaknya menerima panggilan awam mengenai sebuah kereta jenis Nissan yang terjatuh ke dalam sungai di kawasan Tanjung Agas pada pukuk 11.45 pagi, 4 September lalu.
Dua kanak-kanak, lelaki dan perempuan, masing-masing berumur enam dan lapan tahun, disahkan terkorban selepas terperangkap di dalam kenderaan yang tenggelam itu.
Alamat keluarga mangsa didaftarkan di Shah Alam, Selangor.
Siasatan awal turut mendapati, seorang lelaki berusia 46 tahun, dipercayai bapa kepada mangsa, serta teman wanitanya berusia 41 tahun ditahan dan kini direman selama tujuh hari bermula semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berkaitan, tiada ahli keluarga atau waris hadir ketika proses bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Port Dickson, menurut laporan media semalam.






