
PETALING JAYA: Sebuah papan iklan yang dipasang tanpa kelulusan sah di Kilometer 32.9 Lebuhraya Persekutuan di sini diturunkan dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), malam tadi.
Operasi yang dijalankan sekitar pukul 11.30 malam itu dilakukan susulan kegagalan syarikat pengiklanan terlibat mematuhi Notis Arahan Penurunan yang telah dikeluarkan oleh MBPJ pada 29 Ogos lalu.
Pemeriksaan mendapati papan iklan berkenaan dipasang tanpa lesen sah, sekali gus melanggar peruntukan di bawah Undang-undang Kecil Iklan (MBPJ) 2007.
Menurut kenyataan MBPJ, tindakan tegas terpaksa diambil selepas syarikat tersebut ingkar arahan notis yang dikeluarkan, meskipun sebelum ini pihak berkuasa telah menyita sebuah penjana elektrik (genset) dalam operasi terdahulu pada 25 Ogos.
Genset tersebut dipercayai digunakan sebagai sumber elektrik alternatif selepas bekalan asal dipotong oleh TNB.
Siasatan lanjut mendapati syarikat terbabit pernah mengemukakan permohonan lesen untuk pemasangan papan iklan pada 23 April lalu.
Namun, semakan MBPJ menunjukkan permohonan itu tidak lengkap kerana tidak disertakan dokumen penting seperti Kebenaran Merancang (KM) dan Permit Struktur seperti yang dikehendaki mengikut syarat permohonan.
MBPJ menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap pemasangan iklan mematuhi kehendak undang-undang dan tidak menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan awam.
Pihak berkuasa turut mengingatkan semua syarikat pengiklanan agar tidak mengambil mudah keperluan perundangan yang ditetapkan.
Katanya, pematuhan terhadap syarat-syarat ini bukan sahaja penting dari segi keselamatan pengguna jalan raya, malah bagi mengekalkan keteraturan dan kawalan terhadap landskap bandar yang semakin pesat membangun.







