
KUALA LUMPUR: Malaysia giat membuat persediaan awal untuk menjadikan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumber tenaga elektrik bersih negara.
Persediaan itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang yang diumumkan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada 31 Julai lalu.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, di bawah strategi pembangunan berimpak tinggi HGHV, tenaga nuklear diangkat sebagai pilihan strategik bagi menjamin bekalan tenaga yang selamat, mampan dan berdaya tahan untuk masa depan.
Katanya, pelaksanaan program ini dijangka mengambil masa 10 hingga 15 tahun sebagai fasa persediaan awal, manakala komitmen keseluruhan termasuk operasi, penyelenggaraan dan pengurusan sisa radioaktif dijangka berlanjutan hingga 100 tahun.
“Kajian Pra-Kebolehlaksanaan Nuklear yang dijalankan pada 2024 mendapati tenaga nuklear adalah satu pilihan yang mempunyai daya maju teknikal.
“Kajian tersebut turut mengemukakan 22 syor strategik bagi memastikan pelaksanaan yang selamat dan berkesan. Usaha ini turut menyokong sasaran negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
MyPOWER, agensi di bawah PETRA, kini giat melaksanakan penilaian menyeluruh melibatkan dasar dan perundangan, pemilihan lokasi loji, kebolehlaksanaan teknikal dan komersial, strategi pembangunan industri tempatan serta pendekatan libat urus masyarakat,” katanya dalam sesi libat urus bersama media, di sini.
Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan, Malaysia turut akan melibatkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melalui misi Integrated Nuclear Infrastructure Review (INIR) sebagai penilaian bebas berpandukan pendekatan antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia kini berada dalam kelompok 23 negara yang mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear, bersama beberapa negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Myanmar dan Singapura.
“Malaysia juga terus ke hadapan dalam pembangunan teknologi tenaga seperti Battery Energy Storage System (BESS), yang membolehkan integrasi tenaga solar berskala besar dan menjimatkan pelaburan infrastruktur tenaga.
“Dalam sektor air pula, Malaysia tampil sebagai peneraju ASEAN dalam Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) menerusi inisiatif Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan komitmen kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan turut memperkukuh pemahaman rakyat terhadap tenaga melalui pelancaran Malaysia Energy Literacy Program (MELP), dengan kerjasama pelbagai agensi tenaga negara.
Laman web literasi tenaga pertama negara dilancarkan pada 2 September lalu, dan kini menjadi sebahagian daripada platform DELIMa KPM yang dapat diakses oleh lebih empat juta pelajar dan 400,000 guru.





