
TAWAU: Keupayaan negara menghadapi bencana dipertingkatkan menerusi pelancaran Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) yang menawarkan solusi komunikasi pantas dan berkesan dalam situasi kritikal.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sistem ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada rakyat yang terputus hubungan, terutama semasa berdepan bencana.
Katanya, dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PRIME merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan yang dilengkapi dengan teknologi satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan dron.

“Sistem ini mampu memberikan sambungan komunikasi secara menyeluruh di kawasan yang terjejas infrastruktur, membolehkan agensi penyelamat bertindak lebih pantas dan teratur.
“Ketika ini, dua unit PRIME sudah digerakkan dengan masing-masing di Semenanjung Malaysia dan Sabah manakala unit ketiga yang akan ditempatkan di Sarawak dijangka siap pada Oktober ini,” katanya ketika melancarkan PRIME peringkat Sabah bersempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam, di sini.
Fahmi berkata teknologi PRIME akan diperluas ke kawasan lain yang memerlukan, selaras dengan komitmen kerajaan meningkatkan kecekapan komunikasi semasa bencana.
Terdahulu, Fahmi menyampaikan sumbangan peranti kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melalui program Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.





