
KUALA LUMPUR: Nilai e-dagang di Malaysia terus menunjukkan perkembangan pesat apabila sektor itu mencatat pendapatan RM625 bilion hanya dalam separuh pertama 2025, iaitu RM13.5 bilion lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Di peringkat serantau pula, ekonomi digital ASEAN dilaporkan bakal melonjak kepada AS$1 trilion menjelang 2030, dengan e-dagang sebagai pemacu utama pada kadar pertumbuhan tahunan 22 peratus.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata seiring dengan momentum itu, Malaysia bakal menjadi tuan rumah Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 yang pertama kali dianjurkan, berlangsung pada 24 hingga 25 November di Kuala Lumpur.
Katanya, persidangan dua hari itu dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama strategik Malaysia E-Commerce Chapter di bawah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI).
Bahkan jelasnya, penganjuran ini selari dengan usaha Malaysia memperkukuh ekosistem digital serantau serta memacu pertumbuhan ekonomi digital negara.
Beliau menegaskan persidangan akan memberi tumpuan kepada dua teras Utama iaitu mewujudkan pasaran e-dagang yang diyakini melalui perlindungan pengguna; serta memperkasa ekosistem digital meliputi logistik ‘last-mile’, kewangan digital seperti Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), dan pembangunan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“E-dagang mampu mengubah landskap ekonomi dan memperkasa komuniti di seluruh ASEAN, namun kejayaan itu memerlukan kerangka peraturan seragam, kesiapsiagaan ekosistem serta kerjasama rentas sempadan,” katanya.
Persidangan itu dijangka menarik lebih 350 peserta dari negara anggota ASEAN dengan 14 sesi perbincangan membabitkan 33 ahli panel sektor awam dan swasta, yang menekankan dasar, inovasi dan cabaran e-dagang sejajar aspirasi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).
Bertemakan ‘Transformasi E-Dagang ASEAN: Merapatkan Jurang, Meningkatkan Daya Saing’, ia bakal menghimpunkan penggubal dasar, agensi kawal selia, pemain industri serta usahawan dalam talian dari seluruh rantau untuk membincangkan hala tuju transformasi e-dagang serantau.
Antara syarikat utama yang menyokong persidangan ini termasuk Shopee, Lazada, TikTok Shop, Mudah.my dan Carousell, mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kepercayaan digital serta mendorong inovasi ke arah pertumbuhan ekonomi digital ASEAN yang inklusif.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali, manakala ucaptama akan disampaikan Presiden International Marketplace, Alibaba International Digital Commerce Group, James Dong.
Turut tampil sebagai penceramah ialah Timbalan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Roziah Abudin; Ketua Pegawai Komersial Shopee, Zhou Jun Jie; Naib Presiden FOMCA, Datuk Indrani Thuraisingham; wakil Thailand, Wimonrat Rukkhaworakul Teriyapirom; serta Naib Presiden Alibaba Group, Eric Pelletier.





