
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keberkesanan pelaksanaan inisiatif Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya mengambil serius laporan dan hantaran di media sosial yang mendakwa wujud segelintir peniaga yang menaikkan harga barangan secara tidak wajar, sekali gus menjejaskan manfaat sebenar sepatutnya dinikmati penerima bantuan.
“Sekiranya perkara ini berlaku, siasatan dan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dilaksanakan.
“Kerajaan MADANI akan menyiasat aduan. Dalam masa yang sama, kerajaan menghargai inisiatif pasar raya dan kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima manfaat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) di sini, hari ini.
Beliau juga menggalakkan orang ramai untuk membuat aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membolehkan siasatan segera dijalankan.
Aduan boleh dikemukakan melalui beberapa saluran KPDN seperti portal e-Aduan KPDN, iaitu https://eaduan.kpdn.gov.my/, talian WhatsApp 019-848 8000, atau pusat talian 1-800-886-800.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan hari kelapan pelaksanaan Penghargaan SARA berjalan lancar dengan jumlah jualan sebanyak RM102.5 juta melibatkan 1.7 juta penerima setakat pukul 9.30 malam.
“Kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.9 peratus bagi dua hari berturut-turut. Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tujuh hari lepas, telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari ini,” menurut kementerian itu.
Sejak dilaksanakan pada 31 Ogos, inisiatif berkenaan secara keseluruhannya telah memanfaatkan lebih 11.8 juta rakyat yang membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA bulanan, dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM745.7 juta di seluruh negara.





