KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana pihak yang menyebarkan gambar barang kes berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir, sebelum prosiding berlangsung secara rasmi.
Koroner, Amir Shah Amir Hassan, memberi peringatan itu selepas menerima aduan berhubung penyebaran imej barang kes dalam media sosial yang dipercayai berlaku sehari sebelum prosiding hari ini.
“Saya mahu ingatkan semua pihak agar berhati-hati. Barang kes yang ada dalam milikan kamu tidak boleh dikongsi sesuka hati.
“Memuat naiknya sebelum prosiding boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah,” katanya sebelum sesi pagi ditangguhkan pada pukul 12.30 tengah hari.
Terdahulu, sebuah akaun Facebook memuat naik gambar sekeping kertas yang didakwa mengandungi tulisan tangan arwah Zara Qairina, sekali gus menimbulkan keresahan mengenai ketelusan perjalanan inkues.
Koroner turut menekankan walaupun pihak berkuasa mungkin tidak mampu menghentikan semua penyebaran dalam talian, tindakan tetap akan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab.
Dalam prosiding hari ini, Pemeriksa Dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, tampil memberi keterangan berhubung 21 dokumen bertulis tangan yang dikemukakan oleh polis.
Tujuan pemeriksaan adalah untuk menentukan sama ada tulisan tersebut milik arwah Zara Qairina atau individu lain.
Inkues kematian Zara Qairina terus menjadi tumpuan awam, dan perkembangan terbaru ini menimbulkan persoalan serius mengenai etika dan keselamatan maklumat dalam prosiding mahkamah.
