KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen PKR, Tian Chua mempersoalkan tindakan keselamatan Suria KLCC yang didakwa menghalang kemasukan beberapa individu ke pusat beli-belah itu hanya kerana mereka memakai simbol berkaitan Palestin.
Dalam satu kenyataan tegas, beliau menuntut pihak pengurusan Suria KLCC memohon maaf secara rasmi kepada peserta yang terlibat dalam insiden kekecohan yang tular baru-baru ini, dan menyifatkan larangan terhadap pemakaian keffiyeh, lencana atau bendera Palestin sebagai tindakan sewenang-wenang dan bersifat diskriminasi.
Menurut Tian Chua, beliau yang menyertai perhimpunan aman membantah kehadiran bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, tidak berniat memasuki pusat beli-belah itu.
Namun, beliau berubah fikiran setelah dimaklumkan beberapa peserta dihalang hanya kerana penampilan mereka yang menyatakan solidariti terhadap Palestin.
“Menghalang orang masuk hanya atas dasar pakaian atau simbol merupakan tingkah laku sewenang-wenang dan diskriminasi. Ini tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau turut menyaksikan seorang pengawal keselamatan cuba merampas bendera Palestin daripada seorang wanita yang sedang menuju ke tandas.
Tian Chua mendakwa beliau mengambil bendera tersebut dan menawarkan diri untuk membawanya keluar sendiri, namun dihalang dan dikepung oleh beberapa lelaki yang didakwa cuba merampas bendera itu secara kasar.
Walaupun beliau mencadangkan bendera itu dicabut daripada kayunya untuk mengelakkan konflik, Tian Chua mendakwa pasukan keselamatan tetap bertindak agresif, malah sehingga ada yang menolak.
Suria KLCC dalam kenyataan sebelum ini mempertahankan tindakan pasukan keselamatannya, dengan menyatakan larangan membawa bendera atau objek berbentuk kayu adalah sebahagian daripada peraturan keselamatan, tanpa mengira simbol atau kecenderungan politik.
Namun, Tian Chua menegaskan tiada sebarang demonstrasi dirancang di dalam premis tersebut dan para peserta hanya memasuki kompleks itu selepas perhimpunan bersurai.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai amat membimbangkan dan menggesa Suria KLCC menjalankan siasatan menyeluruh serta menyemak semula protokol keselamatannya.
