KUALA LUMPUR : Harapan untuk melihat sekatan terhadap Gaza dipecahkan semakin hampir apabila misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai aktivis antarabangsa kini bersiap sedia meninggalkan Tunisia menuju ke Gaza dalam tempoh dua hari lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan para sukarelawan, termasuk yang mewakili negara ini, supaya dilindungi Allah SWT sepanjang pelayaran sehingga selamat tiba di Gaza.
“Ketika ini kapal dari Sepanyol dan Itali sudah tiba di Tunisia. Insya-Allah dalam dua hari lagi mereka akan bergerak dari Tunisia menuju ke Gaza,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1447H/2025M di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.
Misi GSF menghimpunkan lebih 1,000 aktivis dari 44 negara yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk merentasi Laut Mediterranean dengan tujuan memecahkan sekatan rejim Israel terhadap Gaza.
Konvoi besar itu melibatkan lebih 50 kapal dari pelbagai negara, termasuk Sepanyol dan Itali, membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta bantuan penting untuk rakyat Palestin yang terus terhimpit akibat perang sejak 7 Oktober 2023.
Mohd. Na’im turut berharap masyarakat Malaysia terus menyokong usaha ini, khususnya para sukarelawan tanah air yang berani menyertai pelayaran berisiko tinggi.
“Setiap negara terlibat memberi sumbangan mengikut kemampuan masing-masing. Sukarelawan yang menaiki kapal ini berdepan cabaran besar kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku sepanjang pelayaran, termasuk kemungkinan halangan daripada pihak berkuasa Israel sebelum sampai ke Gaza.
“Kita ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua sukarelawan, termasuk yang ramai dari Malaysia, kerana keberanian mereka,” katanya.
Beliau menambah, bagi mereka yang tidak berpeluang menyertai misi flotila ini, sokongan boleh dizahirkan melalui sumbangan kewangan, manakala bagi yang tidak berkemampuan, doa tetap menjadi senjata utama orang beriman.
