TAWAU: Lebih 1,200 penduduk di Kampung Kuala Merotai menikmati liputan komunikasi lebih stabil dan pantas menerusi Menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 yang sudah beroperasi sejak 27 September lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, menara itu menggunakan teknologi 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN), membolehkan tiga penyedia perkhidmatan utama iaitu CelcomDigi, Maxis dan U Mobile berkongsi rangkaian dalam satu infrastruktur yang sama.
“Ia diuruskan oleh syarikat Redtone dan dianggap sebagai antara langkah pintar untuk memperluas liputan dengan kos yang lebih efisien.
“Hasil ujian kelajuan menggunakan aplikasi rasmi MCMC NEXUS mendapati menara tersebut mampu menawarkan capaian sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G, satu pencapaian besar bagi kawasan luar bandar,” katanya yang meninjau kualiti liputan komunikasi di kampung berkenaan.

Fahmi berkata, liputan komunikasi yang stabil dan pantas secara tidak langsung membuka peluang lebih luas dalam bidang pendidikan digital, perniagaan atas talian dan komunikasi harian.
Katanya, usaha memperluas liputan digital ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan melalui pelan JENDELA untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir dalam era digital.
“Dengan liputan yang lebih baik, kita bukan sahaja memperkukuh komunikasi, malah membuka ruang ekonomi digital kepada penduduk di sini,” katanya.
