KUALA LUMPUR: Negara dikejutkan dengan mesej ugutan yang diterima oleh kakitangan Petronas yang mengancam untuk membakar loji gas asli cecair (LNG) di Malaysia dengan mesej itu didakwa dihantar dari nombor telefon berpangkalan di Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan perkara itu dan memaklumkan siasatan dijalankan polis, manakala Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil langkah segera dengan mengetatkan kawalan di semua loji LNG di seluruh negara, termasuk fasiliti utama di Bintulu, Sarawak.
Menurut Fadillah, mesej berunsur ugutan itu diterima oleh seorang kakitangan Petronas di ibu pejabat syarikat tersebut.
Pengirim mesej tersebut sebelum itu meminta respon terhadap satu mesej awal dan apabila tidak menerima maklum balas, dia mengugut untuk membakar kemudahan LNG di negara ini.
“Dia minta menjawab sesuatu tetapi sebab tidak ada respon, dia mengugut untuk membakar LNG kita. Tetapi tidak tahu yang mana satu,” katanya kepada media.
Fadillah berkata, walaupun lokasi sasaran tidak dinyatakan secara jelas, ugutan tersebut menyebut konteks berkaitan LNG, yang memberi implikasi serius kepada loji-loji tenaga utama di Bintulu, Sarawak dan Sabah.
Katanya, kerajaan tidak akan mengambil ringan ancaman ini dan memberi jaminan keselamatan sektor tenaga negara adalah keutamaan yang tidak akan dikompromi.
Semalam, MKN mengeluarkan arahan rasmi untuk memperketat kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG di Bintulu selepas menerima laporan mengenai potensi ancaman terhadap infrastruktur strategik tersebut.
Arahan tersebut juga dipercayai melibatkan kerjasama rapat antara agensi keselamatan dan pihak pengurusan Petronas bagi memastikan tiada sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan bekalan tenaga.
