
PUTRAJAYA: Siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, masih diteruskan dengan tumpuan kini diberikan kepada aset-aset yang dipercayai dimiliki beliau di United Kingdom (UK), kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Azam berkata, SPRM giat mendapatkan maklumat lanjut dan terperinci mengenai perkara serta hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum selepas maklumat lengkap diperoleh daripada pihak luar.
“Siasatan melibatkan Mahathir masih lagi dijalankan dan kami giat mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak luar, terutama sekali pihak autoriti UK berhubung dengan aset-aset yang dimiliki beliau.
“Sekiranya maklumat dapat diperoleh, kita akan maklumkan kemudian,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Nama Mahathir sebelum ini dikaitkan dengan siasatan berhubung isu pengisytiharan harta, dan Azam pada April 2024 telah mengesahkan beliau antara individu yang disiasat dalam kes tersebut.
Susulan siasatan itu, dua anak beliau iaitu Mokhzani dan Mirzan Mahathir diberikan notis untuk mengisytiharkan harta di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Menurut pengisytiharan harta yang dikemukakan kepada SPRM pada Januari lalu, Mokhzani dilaporkan memiliki aset dianggarkan bernilai RM1 bilion, manakala Mirzan pula RM246.2 juta.
Dalam perkembangan berasingan, Azam turut mengulas mengenai isu tular membabitkan seorang peguam yang mendakwa pegawai penyiasat SPRM bersikap kasar dan mengugut untuk menahannya ketika sesi soal siasat pada 2 September lalu.
katanya, SPRM mempunyai versi berbeza berhubung kejadian itu.
“Ya, itu versi dia. Mungkin sebab perkara itu telah diviralkan dalam media sosialnya, saya sendiri telah mendapatkan penjelasan daripada pegawai saya dan versinya lain,” jelas Azam.
Beliau berkata, pegawai terlibat memberi jaminan segala tindakan ketika soal siasat dijalankan mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard SPRM.
Sebelum ini, peguam berkenaan mendakwa melalui hantaran di Facebook dia ditekan secara verbal dan diugut akan ditahan jika tidak memberikan kerjasama kepada pegawai penyiasat SPRM.
Kontroversi ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, namun SPRM menegaskan agensi itu sentiasa bertindak mengikut lunas undang-undang dan bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya isu ini dibawa ke muka pengadilan.






