
SHAH ALAM : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah.
Pelantikan ini berkuat kuasa mulai 15 Ogos ini hingga 15 Ogos 2027 dan merupakan langkah strategik UiTM dalam memperkukuh jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan utama, khususnya dalam bidang pentadbiran awam, dasar serta pembangunan kepimpinan.
Menurut kenyataan rasmi UiTM, surat pelantikan tersebut disampaikan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dalam satu kunjungan hormat ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya, petang semalam.
Majlis penyerahan turut disaksikan oleh Pendaftar UiTM, Rektor UiTM Cawangan Kedah, Dekan FSPPP, Penolong Naib Canselor (Pejabat Komunikasi Strategik), serta barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) UiTM Kedah.
Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Dr. Shahrin menyifatkan ia sebagai satu peluang besar untuk memperluas ruang kolaborasi antara UiTM dan JPA, termasuk dalam bidang penyelidikan, penganjuran konvensyen perkhidmatan awam serta perkongsian ilmu yang bermanfaat kepada mahasiswa dan warga perkhidmatan awam negara.
Wan Ahmad Dahlan dalam pada itu menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan, dan menyatakan komitmennya untuk menyumbang kepakaran strategik selaras dengan aspirasi negara menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi serantau dan antarabangsa.
“Pelantikan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi juga satu amanah untuk mengukuhkan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan sektor perkhidmatan awam demi kemajuan negara yang lebih cemerlang dan berdaya saing,” katanya.







