KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu bahawa tiada kesan lebam atau tanda penderaan ditemukan pada tubuh Allahyarham Zara Qairina Mahathir semasa menerima remaja itu untuk pemeriksaan pada 16 Julai lepas.
Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Janefer Voo berkata, remaja itu dibawa ke jabatan kecemasan oleh penolong pegawai perubatan bersama pasukan ambulans dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun mekanisme kecederaan tidak diketahui pada ketika itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit.
“Ia juga menunjukkan pelajar itu disyaki mengalami kecederaan otak yang serius selain disyaki mengalami pendarahan dalaman.
“Disebabkan tekanan darah mangsa terlalu rendah, remaja itu disyaki mengalami kecederaan dalaman “due to high impact” pada badan yang menyebabkan pendarahan dalam badan,” katan saksi ketiga itu ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari keempat prosiding inkues kematian remaja itu.
Katanya, amaran trauma diaktifkan pada 4.42 pagi bagi membolehkan rujukan segera dibuat kepada pasukan Jabatan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi, sementara prosedur resusitasi dilakukan terhadap mangsa.
