PUTRAJAYA: Wang tunai berjumlah RM170 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini secara rasmi menjadi hak milik kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia susulan keputusan responden Ismail Sabri yang tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai berkenaan.
“Ini bermakna secara rasmi wang ini kini hak milik kerajaan dan proses untuk memasukkannya ke dalam consolidated fund (dana yang disatukan) akan dimulakan pada hari ini.
“Mungkin dalam tempoh terdekat ia akan dikreditkan ke akaun kerajaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Semalam, Mahkamah Sesyen dimaklumkan bahawa Ismail Sabri dan bekas setiausaha politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita SPRM.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan perkara itu semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin, dengan kedua-dua responden melalui peguam mereka telah menghantar surat bertarikh 28 Ogos lepas kepada mahkamah bagi menyatakan pendirian tersebut.
