
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berada di sebuah negara di Asia Barat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, maklumat berkenaan diperoleh hasil risikan dan turut disahkan melalui khabar angin yang diterima pihaknya.
“Kita tidak boleh dedahkan secara khusus negara mana yang dimaksudkan, tetapi negara tersebut tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan Angkatan Koperasi Malaysia (ANGKASA) di Wisma Ungku A Aziz, hari ini.
Menurut Azam, usaha mengesan dan membawa pulang Muhammad Adlan masih giat dijalankan, termasuk tindakan terbaru yang diambil semalam oleh pihaknya.
“Kita juga sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membatalkan pasport beliau dan berharap ia akan diluluskan dalam masa terdekat.
“Pada masa sama, perbincangan dengan negara terbabit turut dijalankan bagi mencari jalan terbaik untuk membawa beliau pulang ke Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Dua individu yang diburu ialah Muhammad Adlan dan seorang peguam, Mansoor Saat. Kedua-duanya dilaporkan telah meninggalkan negara masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.
Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan permohonan untuk notis merah terhadap kedua-dua suspek telah diserahkan kepada Interpol atas permintaan SPRM bagi mengesan lokasi mereka.





