
KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini dia menemukan pelajar perempuan, Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di leher, terlentang di dalam longkang berhampiran asrama sekolah, pukul 3 pagi pada 16 Julai lalu.
Saksi, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang sudah bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar sejak 2012, berkata sebelum kejadian, dia melakukan rondaan rutin di kawasan asrama.
“Kira-kira 2 pagi, saya periksa asrama Blok Rabiatul Adawiyah dan semuanya dalam keadaan biasa.
“Kemudian saya bergerak ke Blok Sumayyah, iaitu asrama perempuan yang bersebelahan, untuk meneruskan rondaan,” katanya ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Koroner, Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan pada hari kelima prosiding inkues berhubung kematian remaja itu.
Linah berkata, sekitar 3 pagi, seorang pelajar perempuan datang memaklumkan kepadanya ada pelajar lain yang pengsan di dalam longkang berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah.
“Saya terus bergegas ke lokasi dan mendapati seorang pelajar perempuan yang dikenali sebagai Zara dalam keadaan terlentang di dalam longkang, tidak sedarkan diri. Lehernya juga berdarah,” katanya.
Dia kemudiannya segera menghubungi Ketua Warden Asrama, Ustaz Azhari Abd Sagap, dan mengambil gambar mangsa menggunakan telefon bimbit untuk rujukan.
“Selepas Ustaz Azhari tiba, beliau terus hubungi pihak hospital dan ambulans tiba pukul 4 pagi.
“Pelajar tersebut kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan,” katanya.
Linah turut mengesahkan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan blok asrama berkenaan serta ketiadaan palang besi di koridor bangunan.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, saksi memaklumkan gambar mangsa dihantar kepada empat guru dan ketua warden melalui aplikasi WhatsApp.
Telefon bimbit yang digunakan kemudian diserahkan kepada pihak polis pada akhir Julai bagi membantu siasatan.
Dalam sesi soal balas oleh peguam Shahlan Jufri, yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina, Linah berkata dia mengenali mangsa berdasarkan pengalaman bertugas lama di sekolah tersebut.
Ketika ditanya mengenai pelajar yang memaklumkan kejadian, Linah berkata,
“Budak itu cakap, ‘Aunty, aunty, ada budak pengsan’. Saya pergi dekat, tapi saya tak mahu pegang. Saya takut. Dia tidak sedarkan diri tapi masih bernafas.
“Ketika kejadian, semua pelajar lain sedang tidur,” katanya.






